Sabtu, 22 Maret 2008

Tergesa gesa adalah dilarang

Salah satu di antara sifat atau tabiat semulajadi manusia ialah bersifat gopoh. Ini jelas telah dinyatakan oleh Allah Taala melalui Al Quran yang bermaksud:
" Dijadikan manusia itu bersifat terburu-buru atau gopoh-gapah." (Al Anbiya`:37 )
Ini juga salah satu di antara ujian kepada manusia. Apakah boleh berjaya atau tidak manusia itu mendidik dan mendisiplinkan diri agar menjadi manusia yang tenang. Sentiasa gelisah dan resah lebih-lebih lagi jika ia ditimpa ujian.

Ujian golongan bawahan seperti miskin, orang tak peduli atau orang benci. Ujian golongan biasa seperti ada saingan di dalam merebut jawatan, dilucutkan jawatan, rugi di dalam perniagaan atau tidak lagi dilantik menjadi menteri dan sebagainya.

Manusia itu jika tidak berusaha mendidik dan bermujahadah dengan nafsu yang gopoh-gapah dan gelojoh, maka benih gopoh semulajadi yang Allah cipta dalam diri manusia itu ibarat benih pokok. Ia akan bertunas, berdaun, berbatang yang akhirnya membesar subur lalu berbuah. Di waktu itu sifat gopohnya benar-benar berakar umbi dan mendarah mendaging di dalam diri manusia hingga menjadi tabiat, sikap dan seterusnya menjadi budaya hidupnya.

Apabila sifat gopoh telah mendarah mendaging, maka di waktu itu amat sulit sekali untuk membuangnya dan dengan sifat gopoh yang telah begitu subur di dalam diri itu, dia sedar bahawa tabiat gopohnya itu sangat menyusahkan dan menyesaknya. Namun untuk membuangnya amat sulit sekali. Kecuali dengan berusaha dan bersungguh-sungguh berjuang berhempas-pulas memerangi sifat gopoh itu serta memohon kepada Allah SWT selalu agar membantunya membuang sifat gopoh itu mungkinlah boleh.

Firman Allah yang bermaksud:
"Bertenang-tenang itu dari Allah dan bergopoh-gapah itu dari syaitan."
Justeru itulah manusia sejak kecil lagi memerlukan didikan yang berdasarkan Islam terutama dari ibu bapanya. Kemudian guru-guru, selepas itu masyarakatnya mendidik bagaimana mengenal sifat-sifat mazmumah. Gopoh tadi salah satu di antaranya. Kemudian bagaimana hendak membentuknya agar sifat gopoh itu jangan subur. Kerana membuangnya 100% dari diri manusia adalah mustahil.

Memanglah setiap yang negatif itu mudah dikawal sewaktu ia masih kecil lagi. Apabila menjulur sahaja, pangkas, potong, akhirnya ia akan bantut tapi kalau ia dibiarkan menjadi sebatang pokok yang besar maka waktu itu sudah amat sulit dan susah sekali untuk memusnahkannya.
Merbahayanya Sifat Gopoh
Sifat gopoh itu jika ia telah dibiarkan tidak dididik dan tidak diasuh daripada seorang yang kecil hingga terbiar sampai dewasa bahkan sampai ke tua, sifat gopoh itu sangat merosakkan pada empunya diri dan juga orang lain.

Di antara kejahatan dan keburukannya yang timbul dari sifat gopoh itu ialah:
1. Mudah mengeluarkan kata-kata atau percakapan tanpa berfikir lebih dahulu baik buruknya. Akhirnya banyak tersalah.

Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang percaya dengan Allah dan Hari Kemudian maka hendaklah bercakap yang baik atau diam."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Dalam perbualan dan perbincangan, sifat gopoh itu mudah sahaja memotong cakap orang. Ramai orang tersinggung, banyak orang benci, akhirnya berlaku perpecahan hati yang akan membawa perpecahan yang lebih besar lagi.
3. Gopoh membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan lebih dahulu atau tanpa berunding dengan orang-orang yang boleh dipercayai. Akhirnya keputusan itu tersalah atau tidak jitu. Akibatnya penyesalan yang tidak berkesudahan.
4. Mudah menuduh atau menghukum, akibatnya selalu sahaja tersalah. Banyak orang yang terfitnah dengan sebab kegopohan kita. Sedangkan fitnah itu mengikut Islam lebih dahsyat daripada pembunuhan. Teraniayanya orang itu. Kalau mereka tidak sabar atau gopoh pula, dia akan menyerang kita. Seterusnya memusuhi kita atau terheret ke mahkamah.
5. Daripada sifat gopoh itu mudah memukul orang, menyerang orang dan membunuh orang. Timbullah kerosakan dari kejahatan di dalam bermasyarakat. Selepas itu akan berlaku dendam-berdendam. Mungkin nanti masing-masing membawa klik atau mengumpul kawan-kawan masing-masing. Maka kerosakannya lebih besar lagi.
6. Daripada sifat gopoh, kita selalu sahaja mendapat malu. Padahal malu itu menghilangkan maruah kita. Hilang wibawa kita dan seterusnya hilang keyakinan orang.
7. Sifat gopoh mudah membawa orang cepat merajuk, mudah jemu membuat kerja yang baik, kalau lebih berat lagi mudah putus asa iaitu sifat yang sangat dilarang oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya:
"Tiada yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaumnya yang kafir."(Yusuf: 87)
"Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT."(Az Zumar: 53)
8. Orang yang gopoh makin tidak tenang hidupnya kerana selalu sahaja tersalah, tersilap, terlajak, tersasul yang merugikan dan menyusahkan hati.
9. Dengan sifat gopoh yang ada pada seseorang itu, orang lain tidak suka berkawan. Orang takut berkawan kerana adakalanya kalau dia marah mendadak sahaja tanpa munasabah, sekalipun pada kawannya, isteri atau anak-anaknya lebih-lebih lagi yang bukan kawannya.
10. Sifat gopoh itu bukan sahaja mendorong membuat sesuatu kerja itu tanpa mengkaji lebih dahulu. Bahkan mudah sahaja meninggalkan sesuatu kerja itu lebih-lebih lagi bila terasa kerja itu susah dan berat, iaitu kerja akan terbengkalai dalam kehidupan.
11. Sifat gopoh seseorang itu boleh membawa seseorang itu melulu bertindak, mudah menjadikan musuh kawan, dan juga mudah menjadikan kawan itu musuh. Segala tindakan dan usaha-usahanya semberono tidak berdisiplin, tidak tersusun dan teratur.
12. Sifat gopoh mudah menukar fikiran, mudah mengubah sikap, mudah menukar prinsip, mudah dicucuk, dan mudah dihasut dan melatah hingga susah kita hendak berpegang dengan pendiriannya. Kalau di dalam satu perjuangan mudah menyebelah musuh atau mudah memukul kawan seperjuangan, lebih-lebih lagi setelah kena uji. Ia sangat merbahaya di dalam perjuangan.
13. Sifat gopoh itu selalu sahaja membuatkan seseorang menyesal tidak sudah, sesal berpanjangan.
14. Gopoh itu termasuk akhlak yang buruk, perangai yang hodoh, budi pekerti yang jelik, dibenci oleh Allah Taala, Rasul dan seluruh makhluk.
15. Sifat gopoh itu pada seseorang mudah atau cepat menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain, tanpa fikir panjang, tanpa kaji dan selidik.
16. Sifat gopoh yang tidak dapat dikekang dan kontrol menjadikan seseorang itu hilang sifat sabar atau menjadi orang yang tidak sabar terutama bila diuji sama ada dengan nikmat mahupun dengan bala.

Tidak ada komentar: