Sabtu, 22 Maret 2008

Islam membawa Kasih sayang

Islam Membawa Kasih Sayang. Islam adalah hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Hubungan dengan Allah banyak berlaku di masjid dan di surau-surau secara fizikal dan rohani. Yang bersifat rohaniah ini berlaku di mana-mana kerana ia adalah kerja hati.

Hubungan sesama manusia tidak kira kafir atau Islam berlaku di mana-mana sahaja. Berlaku di jalan raya, di rumah, di kedai makan, di dalam kenderaan, di sekitar jiran tetangga. Disiplin waktu berhubung, bertemu, waktu bermesyuarat, bermuzakarah, berceramah .Di dalam keluarga, waktu bekerja, bermusafir, berjuang dan ziarah.

Di sini dibawa beberapa contoh, yang tidak disebutkan kiaskan sahaja. Di jalan raya utamakan orang lain dahulu, sekalipun jalan kita. Bertanya-tanyalah hal jiran sama ada Islam atau kafir, kesusahannya dibantu, sakitnya diziarah, ketiadaannya jaga rumahnya.

Waktu makan di kedai, bayarkan yang di kiri kanan kita. Ketika ke pasar, bayarkan untuk orang yang di sebelah kita setakat termampu. Apabila naik bas, utamakan orang lain duduk, lebih-lebih lagi orang tua atau kaum ibu .Kalau kita berjalan berkenderaan sendiri, terjumpa orang menunggu bas, pelawa dia naik kenderaan kita.

Berjumpa orang di mana-mana sama ada dikenali atau tidak berilah salam kepada mereka.Di dalam majlis, ada peluang bermesralah, ada orang bercakap dengarlah, jagalah tata-susila .Ada orang yang susah meminta, berilah jangan dikecewa, kita berhutang kerananya pun tidak mengapa. Hutang orang kepada kita jangan dipinta. Kalau boleh bayarkan hutang orang setakat termampu, jadikan budaya.

Kalau mereka bayar, Alhamdulillah, jika tidak, halalkan sahaja. Jika kita bersalah dengan siapa sahaja minta maaflah, orang bersalah maafkan sahaja sekalipun tidak meminta. Berkawan hendaklah setia, berjemaah sama-sama berkorban dan menjaga keutuhannya .Pengutip-pengutip sampah kenalah beri hadiah atau apa-apa sahaja yang makanan yang munasabah.

Berani jangan melulu, biarlah berstrategi, takut juga jangan terlalu, Tuhan benci. Bekerja biarlah berdasarkan ilmu, bersungguh-sungguh, bekerja secara jemaah hendaklah bekerjasama. Kalau makan jangan seorang dibedal, biarlah ada orang lain sama. Orang yang menentang kita, janganlah dilayan, kalau boleh buat baik dengan mereka.

Kalau mereka fitnah, tidak salah kita menghilangkan fitnah, tapi biarlah bijaksana. Itulah dia sebahagian daripada ajaran Islam yang global .Yang tidak diceritakan kiaskan sahaja. Itulah dia Islam cara hidup, bukan berpusat di masjid sahaja. Islam macam itulah yang kita sedang memperjuangkannya. Apa yang kita lihat tadi nyatalah Islam itu membawa kasih sayang sesama manusia .

Tidak ada komentar: