Selasa, 18 Maret 2008

Menghubungkan Silaturahmi

MENGHUBUNGKAN tali silaturahim, pada asalnya, lebih merujuk kepada hubungan silaturahim sesama kaum kerabat, saudara-mara dan adik-beradik, sama ada kaum kerabat di sebelah bapa ataupun kaum kerabat di sebelah ibu. Bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan untuk merangkumkan skop silaturahim di sini kepada rakan taulan, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang kita kenali selama ini. Ini adalah kerana Islam sememangnya menekankan kepentingan jalinan kemesraan sesama umatnya.

Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhayli di dalam karya tafsirnya al-Tafsir al-Munir, ungkapan ’silaturahim’ merujuk kepada perbuatan memelihara serta mengekalkan hubungan dengan kesemua kaum kerabat (kaffah al-qarib).

Para ulama’ telah bersepakat berkata, bahawa menghubungkan silaturahim sesama kaum kerabat adalah wajib di mana perbuatan memutuskannya adalah haram, dan mereka yang memutuskannya dianggap telah berdosa.

Di dalam hadis yang sahih, Nabi saw bersabda (maksudnya):

“Al-Rahim (ikatan kasih sayang) tergantung di Arasy Allah (SWT) sambil berkata: Barang siapa yang menghubungkan aku, nescaya Allah (SWT) akan menghubunginya (yakni, merahmatinya) dan barang siapa yang memutuskan aku, nescaya Allah (SWT) akan memutuskannya (daripada rahmat-Nya).”

Di dalam sepotong hadis yang lain, seorang wanita telah bertanya kepada Nabi saw, apakah beliau masih perlu menghubungkan silaturahim dengan ibunya yang masih ‘kafir’, lalu Nabi saw menjawab (maksudnya): “Ya teruskan jalinan silaturahim dengan ibumu (yang masih kafir).”

Ringkasnya hubungan silaturahim adalah suatu amalan yang wajib dipelihara, khususnya hubungan silaturahim sesama kaum kerabat dan adik-beradik. Sebenarnya kita kini hidup di suatu zaman yang amat mudah untuk mengekalkan ikatan dan hubungan silaturahim kerana kita boleh melakukannya dengan pelbagai cara yang amat mudah seperti dengan menghantar sms bertanya khabar dan sebagainya.

Dalam pandangan saya, sekiranya kita secara nyata dizalimi atau dikhianati oleh seseorang dan ekoran daripada itu kita tidak menyenangi diri orang tersebut, atau ‘berkecil hati’ dengan sikapnya yang tidak baik sehingga menyebabkan kita enggan menghubunginya lagi, atau terdorong untuk menjauhinya, maka perbuatan ini tidaklah termasuk dalam pengertian ‘memutuskan silaturahim’, lebih-lebih lagi sekiranya kita berada di pihak yang teraniaya dan dizalimi.

Tidak ada komentar: