Minggu, 06 April 2008

Pesan

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Kebersihan batin penting bagi umat Islam bagi menjadikan dirinya insan yang bertakwa kepada Allah. Ia dilakukan dengan membersihkan jiwa daripada kesan dosa dan perbuatan maksiat iaitu dengan cara bertaubat dan membersihkan hati daripada akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya:

*Kesucian hati daripada sifat keji itu adalah setengah daripada iman. Untuk membersihkan hati, kita perlulah menjauhi segala penyakit-penyakit hati.* (Hadis riwayat al-Iman Muslim)

Jelas bahawa iman yang sempurna itu adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan dalam hati segala sifat terpuji.

Antara penyakit hati yang keji itu ialah berperasaan hasad dengki, sifat riak, ujub, takbur, terlalu banyak cakap, terlalu banyak makan, pemarah, bakhil dan kasihkan dunia.

Dalam hal ini juga Allah mengingatkan manusia terhadap musuh dalam diri mereka yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.

Firman-Nya bermaksud:

*Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu terlalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.* (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai dan ditawan oleh syaitan, maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah dan rasul-Nya. Mereka dengan mudah mengikut telunjuk dan kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati manusia dengan sifat tercela atau mazmumah. Apabila sifat ini berputik dan bertapak pada hati manusia, maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa saja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit hati.

Tidak ada komentar: