Senin, 14 April 2008

CARA MEMBENTUK KELUARGA

ASAS PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA.

Keluarga ialah kelompok manusia yang paling kecil dalam masyarakat yang terdiri dari ayah, ibu dan anak-anak. Keluarga adalah asas dan sendi masyarakat. Jika aman damai dan bahagia setiap keluarga, bererti seluruh masyarakat juga akan bahagia. Pembentukan keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih besar.

Apakah yang dikatakan kebahagiaan? Kebahagiaan bererti kenikmatan, tiada ketakutan, kebimbangan, sebaliknya aman dan damai menjiwai perasaan. Hidup dalam keadaan redha dan diredhai oleh Allah (s.w.t) di dunia dan di akhirat. Maka berbahagialah mereka itu dalam erti kata yang sebenar.

Ramai di antara kita kurang memahami tanggungjawab, tujuan dan dasar-dasar berkeluarga yang dikehendaki oleh Islam. Kebanyakannya mendirikan rumahtangga semata-mata untuk memenuhi naluri kemanusiaan sahaja. Jika sikap seperti ini tidak dibenteras dan diatasi, keluarga bahagia tidak akan dapat diwujudkan. Ini bererti masyarakat Islam yang aman damai dan bahagia tidak akan wujud.

Pembentukan keluarga bahagia bererti memperkatakan ajaran dan suruhan Islam kepada umatnya untuk membentuk dan mewujudkan sebuah keluarga yang dikehendaki oleh Islam.

Perkahwinan merupakan ikatan yang suci lagi mulia, menggambarkan perkembangan yang sihat di dalam usaha sesebuah masyarakat untuk mencari kesempurnaan dan kebahagiaan hidup serta melahirkan keturunan dan zuriat.

Tujuan Allah menjadikan jin dan manusia serta Rasulullah s.a.w. berbangga dengan umatnya yang ramai, adalah supaya mereka menumpahkan taat setia dan beribadah kepada Allah, bukan untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

ASAS PERKAHWINAN

Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa perkara:

Taqwa - Ia hendaklah diasaskan atau didasarkan atas rasa taqwa kepada Allah, tanpa taqwa ditakuti perkahwinan itu tidak dapat menurut landasan yang sebenarnya. Tambahan pula ia merupakan ibadat iaitu suatu sunnah Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Pernikahan itu adalah sunnah ku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnah ku (perjalananku) bukanlah dia dari golongan ku."

Al-Mawaddah Wa Al-Rahmah - Perkahwinan hendaklah juga diasaskan di atas asas Al-Mawaddah (berkasih sayang) dan 'Al-Rahmah" (kasih mengasihi). Tanpa kasih sayang dan kasihan mengasihi perkahwinan akan hancur, kebahagiaan hanya akan menjadi angan-angan sahaja. Malahan kasih sayang harus wujud di dalam kehidupan seluruh umat manusia demi untuk melahirkan masyarakat manusia yang bahagia, saling hormat menghormati, percaya memepercayai dan tolong menolong. Tanpa Al-Mawaddah dan Al-Rahmah masyarakat pasti tidak akan hidup tenteram. Tambahan pula dalam menjalin hubungan kekeluargaan dan rumahtangga Al-Mawaddah dan Al-Rahmah ini sangat-sangat diperlukan.

Al-Muasarah bil Maaruf - Pembinaan rumahtangga hendaklah juga diasaskan di atas dasar Al-Muasarah bil Maaruf. Apa yang dimaksudkan dengan Al-Muassarah bil Maaruf ialah: Pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai Allah. Tidak dikatakan sesuatu itu Maaruf melainkan ia baik dan diredhai Allah serta jauh pula dari kemungkaran, kemaksiatan, penganiayaan, kezaliman dan sebagainya. Oleh itu pergaulan suami isteri tadi hendaklah didasarkan di atas lunas-lunas keredhaan Allah, sentiasa bertolak ansur, memperbanyakkan kesabaran dan ketabahan di dalam menghadapi gelombang dan ribut taufan rumahtangga, kemaafan menjadi sikap dan cara berfikir. Ketegasan diri menentang kemungkaran menjadi ubat. Manakala didikan dan bimbingan kepada isteri dan keluarga ke arah keredhaan Allah menjadi dasar tindakan seseorang suami. Rasulullah s.a.w. bersabda "Sebaik-baik kamu orang yang baik kepada ahli rumahnya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli rumahku.

Allah berfirman dari Surah An Nisaa, maksudnay: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Dari sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia, berlemah lembut dengan ahlinya."

Perlu diingat, lemah lembut bukan pula bererti kita membiarkan isteri dan ahli-ahli keluarga melakukan kemungkaran dan bergelumang dengan dosa dan maksiat kerana kalau ini yang berlaku bererti kita telah berlaku bacol dan dayus terhadap tanggungjawab kita terhadap keluarga.

Begitu juga termasuk di dalam asas Al-Muasarah bil Maaruf ini ialah "kemampuan suami untuk menjadi suami yang hakiki" Di antaranya ialah berupaya menyediakan nafkah, pakaian, makanan dan tempat tinggal dan tidak mendatangkan mudharat atau kesusahan kepada isteri sama ada secara fizikal, mental ataupun rohani.

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

Perkahwinan hendaklah diasaskan atas dasar bahawa ia merupakan amanat dan tanggungjawab, bukan diasaskan atas kehendak nafsu semata-mata. Amanat ini hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab ini hendaklah dilaksanakan tanpa putar belit sebaliknya hendaklah dengan cara yang ikhlas dan jujur.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kamu telah mengambil mereka sebagai isteri dengan amanah Allah dan kamu menikmati mereka dengan kalimah Allah."

Allah telah memberikan penghormatan kepada suami dengan menjadikannya ketua keluarga, ia dipertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke arah keimanan, kebahagiaan dan hidup dalam keadaaan yang diredhai Allah. Keluarga adalah amanat dari Alah ke atas mereka maka hendaklah mereka menunaikan amanat ini dengan sebaik-baiknya.

Allah berfirman dalam surah At- Tahrim ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahannya, manusia dan batu berhala.

Itulah asas dan dasar-dasar yang seharusnya dipertimbangkan dan dijadikan panduan ketika mengharungi hidup berumahtangga. Perkahwinan merupakan amanat yang wajib dijaga dengan baik dan jangan dikhianati. Tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan sepenuhnya ini tidak sunyi dari cubaan dan dugaan, dari itu hendaklah kita sentiasa berwaspada untuk mengujudkan keluarga bahagia.

PEMINANGAN

Sebelum perkahwinan dijalankan hendaklah ia didahului dengan peminangan. Pinangan boleh dilakukan secara terus terang dan langsung (sareh). Haram meminang pinangan orang lain melainkan pihak lelaki yang telah bertunang itu menarik diri (putus tunang) atau telah diizinkan oleh beliau, sementara menerima pinangan tadi hukumnya sama seperti hukum meminang di segi halal dan haramnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah seseorang itu meminang tunang saudaranya melainkan pertunangan mereka telah putus atau diizinkan olehnya.

Dengan itu jelaslah kepada kita bagaimana Islam menghormati perasaan dan maruah seseorang. Keluarga bahagia tidak akan wujud melalui perampasan tunang atau perebutan yang tidak mengenal mana yang hak dan mana yang batil. Janganlah kita cuba mendirikan mahligai kebahagiaan atas titisan air mata dan penderitaan saudara kita. Dalam pada itu pihak lelaki boleh melamar mana-mana wanita dengan cara yang halal dan sah dan begitulah juga pihak perempuan diharuskan melamar pihak lelaki walaupun ini tidak menjadi adat kebiasaan masyarakat kita.

Perkahwinan janganlah didirikan secara tergesa-gesa atau terburu-buru, ia hendaklah dirikan setelah pertimbangan yang halus dan teliti dilakukan supaya tidak timbul kekesalan di kemudian hari.
Maksudnya: Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas jagaannya. Lelaki (suami) adalah penjaga ke atas anggota keluarga rumahnya dan dia adalah bertanggungjawab ke atas jagaannya. Perempuan (isteri) bertanggungjawab terhadap rumah, suaminya dan jagaannya. Bukankah kamu penjaga dan setiap kamu adalah bertanggungjawab ke atas jagaannya.

Memang disedari bahawa anak pinak dan keluarga merupakan kebanggaan seseorang, ia juga adalah hiasan hidup yang amat bernilai di dunia ini. Walaupun demikian janganlah sampai kita terpedaya lalu meninggalkan atau melupakan pula kewajipan-kewajipan kita yang lain yang diamanahkan oleh Allah.

Allah berfirman dari Surah Al Munaafiquun ayat 9 Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Disamping Allah memberi amaran keras bahawa harta benda dan anak pinak tadi merupakan perhiasan hidup yang menggembirakan dan bernilai tinggi, Ia mengingatkan bahawa harta dan anak pinak juga merupakan fitnah dan percubaan dari Allah yang boleh menjerat kita kepada malapetaka di dunia dan neraka di akhirat nanti.

Islam mengharuskan seorang lelaki melihat bakal tunangannya, supaya tidaklah timbul rasa tertipu atau terpedaya kepada pihak yang meminang.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Lihatlah dia (bakal tunangan) dengan ini akan lebih mengukuhkan (mengekalkan) perhubungan kamu berdua."

Para ulamak berpendapat bahawa anggota-anggota yang boleh dilihat itu hanyalah muka dan tapak tangan hingga pergelangan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Jika datang kepada kamu pinangan dari seorang yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya, walaupun kurang berada, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolak pinangannya maka padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi (ini diulang oleh Rasulullah s.a.w tiga kali).

Di dalam cerita lain. Rasulullah s.a.w bersabda: Dinikahi seseorang perempuan itu kerana empat sebab, kerana hartanya, kerana kecantikan, kedudukannya atau keturunan dan kerana agamanya. Maka nikahilah wanita y ang beragama maka suburlah tanganmu (mendapat berkat).

Di dalam hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda: Di antara kebahagiaan anak Adam ini adalah tiga perkara: Isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik.

Di dalam riwayat yang lain pula maksudnya: Rasulullah s.a.w telah ditanya: Bagaimanakah sebaik-baik perempuan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Yang menyukakan hati apabila kamu memandangnya, jika disuruh ia patuh dan taat, jika di belakang suaminya ia menjaga dirinya dan mengawal dengan baik harta suaminya (Amanah pada diri dan harta suami).

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: Di dunia ini ada kenikmatan. Sebaik-baik kenikmatan di dunia ialah isteri yang solehah.

Di atas tadi telah diperturunkan beberapa potong hadis supaya kita renung dan fikirkan dengan halus kemudian kita jadikan panduan dalam mencari jodoh dan pasangan hidup. Kesimpulan dari hadis-hadis tadi ialah: Disamping kecantikan, kekayaan, kemuliaan, kedudukan, keturunan, kemanjaan hendaklah perempuan itu juga mempunyai kemampuan untuk melahirkan keturunan yang banyak. Keagamaan, kesolehan dan keimanan hendaklah diutamakan sebagai dasar asasi pemilihan. Jika timbul pertentangan maka yang akhir ini sudah cukup untuk segala-galanya. Ini bukan bererti Islam tidak menghendaki sifat-sifat selain dari keagamaan dan kesolehan. Malahan jika seseorang itu dapat memiliki segala sifat dan keistimewaan yang ada pada diri seseorang perempuan itu maka berbahagialah ia di dunia dan di akhirat.

Manakala sifat seorang suami yang dikehendaki oleh Islam ialah lelaki itu hendaklah seorang yang mempunyai sifat-sifat kemanusiaan yang terpuji, akhlak yang baik, keimanan yang mendalam serta tahu akan kewajipannya dan bertanggungjawab.
Harta, pangkat dan kedudukan semata-mata tidak menjamin untuk mengujudkan sebuah keluarga yang bahagia.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB

Untuk mengujudkan sebuah keluarga bahagia, setiap anggota keluarga hendaklah mengetahui perasaan, peranan masing-masing dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan akhlak yang jujur dan sempurna, seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Tugas Dan Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri Dan Keluarga

Di bawah ini diperturunkan tugas dan tanggungjawab suami secara ringkas, di antaranya ialah:

1. Memahami bahawa keluarga adalah amanah dari Allah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan dengan sepenuhnya oleh beliau dengan baik dan jujur. Suami adalah ketua keluarga.

2. Mencurahkan kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah) dan bersedia untuk berkorban kerana kebahagiaan keluarga.

3. Memberi bimbingan, didikan dan pengajaran kepada setiap anggota keluarga menurut kehendak Islam.

4. Melindungi keluarga dari segala bentuk pencerobohan dan ancaman di samping melindungi diri mereka dari perbuatan mungkar dan maksiat.

5. Memberikan nafkah dan sara hidup yang selayaknya. Makan dan minum, pakaian, perubatan juga tempat tinggal yang sesuai.

6. Berlaku adil kepada mereka, tindak tanduk hendaklah didasarkan di atas asas pergaulan secara baik.

7. Menyelaraskan masalah yang timbul di antara keluarga sesama mereka atau dengan jiran tetangga dan sahabat taulan.

8. Isteri mempunyai hak di dalam mengendalikan hartanya, suami tidak berhak di atas harta kepunyaan isterinya. Kewajipan suaminya menghormati hak individu ini.

9. Menyelesaikan maharnya jika belum dijelaskan.

Inilah keistimewaan tugas-tugas dan tanggungjawab suami yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t kepadanya.

Tugas Dan Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami Dan Keluarga.

Setiap isteri adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan segala tugas dan kewajipan terhadap suami dan keluarganya dengan jujur, ikhlas dan amanah. Kesimpulan dari tugas dan tanggungjawab tersebut ialah:

1. Wajib bagi isteri mendokong konsep Al-Mawaddah (berkasih sayang) Al-Rahamah (kasih mengasihi) sebagaimana yang diwajibkan ke atas suami.

2. Patuh, taat dan menghormati suami, selama mana ia tidak bertentangan dengan syarat Islam.

3. Menjaga kehormatan dirinya dan suaminya dan menjaga amanah dan harta suaminya dan juga rahsia keluarga dalam rumahtangga.

4. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadan menarik dan kemas.

5. Mendidik anak-anak dengan sempurna dan sewajarnya menurut lunas-lunas Islam dan menjaga kebersihan, kesihatan dan kebajikan anak-anak sesuai dengn tugasnya. Ibu sebagai orang yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

6. Menjalankan urusan rumahtangga supaya sempurna dan teratur mengendalikan kerja rumah.

7. Tidak meninggalkan rumah melainkan setelah mendapat izin dari suaminya atau disebabkan mudarat.

Inilah kesimpulan tugas dan tanggungjawab isteri terhadap suaminya dan keluarga.

Hak Dan Tanggungjawab Bersama.

Hak dan tanggungjawab bersama di antara suami dan isteri untuk mengujudkan keharmonian dan kebahagiaan bolehlah disimpulkan kepada beberapa perkara:

1. Halal menikmati perkongsian hidup dan pergaulan yang baik -
Al-Muasarah bil Maaruf (Pergaulan dan hidup bersama secara
baik dan diredhai Allah).

2. Haram perkahwinan kerana periparan dan persemendaan.

3. Merahsiakan keadaan dan kekurangan dalam rumahtangga.

4. Berhak mewarisi antara satu sama lain.

5. Berlaku adil dan saksama di dalam tindak tanduk dan perkataan.

6. Bersabar menghadapi berbagai dugaan dan perlu saling nasihat
menasihati antara satu dengan lain.

7. Berkerjasama ke arah keredhaan Allah s.w.t.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB AYAH KEPADA ANAKNYA.

1. Berlaku ihsan terhadap anak-anak, memeberikan kasih sayang, didikan, bimbingan, pelajaran dan persekolahan yang dikehendaki oleh Islam.

2. Memberi nafkah, pakaian, makanan, minuman, tempat tinggal yang sesuai.

3. Berlaku adil terhadap mereka.

4. Mempertahankan kehormatan mereka.

5. Berlaku ihsan di dalam memberikan nama kepada mereka.

6. Menghormati hak nasab (keturunan), khadhanah (pemeliharaaan) dan radhaah (penyusunan) yang telah diaturkan oleh Islam.

7. Memilih bakal ibu yang baik menurut pandangan Islam.

8. Sebelum mendekati isteri hendaklah berdoa agar mereka tidak disertai oleh syaitan dan keturunan yang akan lahir hasil pergaulan tadi bukan hasil penyertaan syaitan, dan hendaklah selalu berdoa agar Allah mengurniakan pada mereka keturunan yang soleh dan baik-baik.

Di dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda: Jika seseorang daripada kamu hendak mendekati isterinya bacalah Bismillah, Ya Allah jauhkanlah syaitan dari kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Kau rezekikan kepada kami (daripada anak-anak).

Al-Quran telah memperturunkan doa nabi Zakaria a.s., Allah s.w.t berfirman: Maksudnya: Wahai Tuhan ku! kurniakanlah kepada ku dari sisi Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.

PENUTUP.

Untuk membentuk atau melahirkan keluarga yang bahagia, bukan sahaja terletak kepada cara-cara pemilihan bakal mempelai berdasarkan ajaran Islam malahan hendaklah diasaskan dari mula-mula lagi. Asas-asas yang kukuh dan diredhai Allah bermula dari sebelum kedua ibu bapa mendapatkan zuriat dan keturunan yang soleh. Tidaklah salah kalau saya katakan mendirikan keluarga bahagia ibarat menanam sebatang pokok.

Hendaklah dicari tanah yang subur, benih yang baik, cuaca yang sesuai dan suasana yang menggalakkan. Benih tadi hendaklah disiram dengan nama Allah dengan niat yang baik supaya dapat memberikan faedah kepada dirinya dan alam sekeliling sebagai tanda ibadat kepada Allah. Setelah tumbuh, pokok itu terus dibaja, dijaga dengan baik dan sewajarnya supaya tidak diganggu oleh serangga atau ulat-ulat sehinggalah pokok itu subur dan terus kuat menghadapi cabaran. Kalau proses ini berjalan teus seperti yang dikehendaki, InsyaAllah ia akan menghasilkan buah yang besar, manis, cantik dan memuaskan. Dan ini kalau dibandingkan dengan manusia ia akan melahirkan zuriat yang baik dan akan mendoakan kedua ibu bapanya.

Oleh yang demikian setiap kita hendaklah benar-benar memahami tujuan asas dan dasar perkahwinan yang dikehendaki oleh Islam. Cara-cara memilih jodoh. Sifat-sifat bakal pasangan yang harus diutamakan menurut Islam. Memahami dan melaksanakan segala amanat dan tanggungjawab masing-masing. Saya percaya cara ini akan dapat mengajar dan membentuk keluarga bahagia dalam Islam. Amin...

Tidak ada komentar: