Senin, 14 April 2008

Hidup Sekali harus Mulia

Diri ini merasa kelemahan diri yang amat sangat apabila mendapati telah berlalu lebih enam bulan saya menulis bahan yang terakhir kepada putera puteri harapan Islam sekelian di alam maya ini. Dari awal lagi saya menyedari bahawa terdapat satu jurang yang luas antara kewajipan dan realiti diri. Walau bagaimanapun saya masih belum mahu mengalah dan masih mempunyai hajat yang kuat untuk mencatatkan sesuatu yang boleh membantu putera puteri yang dikasihi untuk mencapai ketinggian Islam dan ketinggian muslimin.

Putera puteri yang dikasihi, anda semua adalah muslimin dan muslimat yang dilahirkan dalam kemuliaan dan dilahirkan untuk kemuliaan bukan kerendahan dan kehinaan. Tetapi hari ini kita lihat realiti rata-rata umat Islam berada dalam kehinaan dan hidup tanpa kemuliaan. Kehinaan ini menurut mereka yang bijaksana berpunca dari dua sebab. Pertama, kehinaan disebabkan oleh kita dijajah dan dikongkong sehingga hidup dalam kelemahan dan kehinaan. Realiti ini tidaklah separah kehinaan yang disebabkan oleh sebab yang kedua, iaitu kehinaan yang berpunca dari kita yang menghina diri kita sendiri.

Putera puteri yang dikasihi! Jangan sekali-kali anda menghina diri anda sedangkan Allah SWT telah menciptakan anda dalam kemuliaan. Capailah kemuliaan diri agar anda dapat membantu umat ini kembali menjadi umat yang mulia. Kita menghina diri kita apabila menjauhkan diri kita dari Allah SWT. Sesungguhnya satu-satu sumber kemuliaan adalah Allah SWT. Perhatikan saja firman Allah SWT di dalam Surah Fathir, ayat 10, maksudnya:

“Barangsiapa yang mengkehendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya…”

Kemuliaan dan kehinaan itu bukanlah milik sesiapa tetapi Allah SWT yang membuat seseorang itu mulia dan membuat seseorang itu hina. Oleh itu barangsiapa yang menjauhkan dirinya atau lebih parah lagi memutuskan dirinya dari Allah SWT maka akan hilanglah kemuliaan dirinya dan jatuhlah dia kepada kehinaan.

Amru Khaled telah menulis beberapa poin bila kita sepatutnya merasa hina. Antaranya:

Pertama, ketika kita menyerah kepada syaitan. Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan kita dan mengheretkan ke dalam kehidupan yang hina dina. Bila kita menyambut ajakan dan pujukannya maka kitapun melenyapkan kemuliaan diri kita dan melemparkan diri kita kepada kehinaan.

Kedua, ketika mengikut hawa nafsu. Ini berlaku apabila hawa nafsu menguasai dan menghiasi watak kita dalam seluruh urusan kehidupan. Hawa nafsu akan memimpin kita dalam urusan kita dengan manusia mahupun harta.

Ibnu Taimiyyah telah berkata:

“Orang yang ditawan adalah orang yang membentengi hatinya dari Rabbnya. Orang yang dipenjara adalah orang yang hawa nafsunya memenjarakannya dirinya. Maka dia menjadi hina kerana dia dipenjara dan ditawan (oleh hawa nafsunya)”

Tidak ada komentar: